06 January, 2009

Wan Farid Pilihan Tepat


Pergerakan Pemuda UMNO melihat pemilihan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon BN adalah tepat dan diyakini mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil pada 17 Jan ini.

Ketuanya, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Wan Ahmad Farid telah menunjukkan kewibawaannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu dan semasa menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dengan menjalankan tugas-tugas yang telah diamanahkan dengan penuh dedikasi.

“Beliau adalah seorang pemimpin muda yang dilahirkan dari kilang Pemuda UMNO dan mempunyai keterampilan dari segi kepimpinan dan berkaliber. Pergerakan Pemuda akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau,” ujarnya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Stadium Negeri.

Hishammuddin berkata, sokongan Pemuda UMNO di peringkat akar umbi terhadap bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu begitu jelas dan terbukti apabila kebanyakan jentera Pemuda yang terlibat dengan pilihan raya kali ini merupakan dari Pemuda Bahagian dan cawangan Terengganu sendiri.


Pembangkang Muflis Isu


Pembangkang yang muflis isu cuba mengalihkan perhatian rakyat apabila menuduh kerajaan melakukan rasuah politik berikutan pengumuman beberapa projek pembangunan kerajaan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

Sambil menyelar sikap pembangkang, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dakwaan itu dibuat untuk menutup kelemahan parti pembangkang yang gagal melakukan sesuatu untuk membela rakyat.

"Semua pelaksanaan projek kerajaan dibuat dengan perancangan, penuh tanggungjawab dan kesedaran. Tuduhan itu tidak berasas, melampau dan cuba mengelirukan rakyat. Mereka buat tuduhan sebab mereka sendiri tidak mampu melaksanakan pembangunan. Mereka cuba tutup kelemahan mereka sendiri apatah lagi dengan ketiadaan modal isu untuk mereka menyerang Barisan Nasional ketika ini", katanya.

Tambah beliau lagi apa yang cuba dilakukan oleh pembangkang ketika ini adalah memesongkan fikiran rakyat khususnya pengundi di sini yang terbukti sentiasa menikmati pembelaan dan pembangunan yang dilakukan kerajaan BN.

"Mereka mula serang peribadi dan lempar pelbagai dakwaan yang tidak berasas. Ini bukti mereka cukup terdesak", ujarnya.

No comments:

Post a Comment