15 January, 2009

Guru Tetap BN

Oleh :Tok Janggut

KUALA TERENGGANU: Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yakin guru-guru di Kuala Terengganu akan memastikan calon Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, Sabtu ini.

Beliau berkata, desas desus yang ditimbulkan pembangkang kononnya, guru Kuala Terengganu akan memberi sokongan kepada calon Pas, adalah sekadar untuk meraih undi sahaja.

“Apabila saya turun padang dan berjumpa mereka, ia terbukti bahawa guru di sini cukup setia dengan BN, ini kerana hubungan akrab yang telah dibina Allahyarham Datuk Razali Ismail, dengan guru sebelum ini.

“Kita yakin guru-guru akan memberi sokongan bagi memastikan kecemerlangan pendidikan di Kuala Terengganu berterusan. Kerajaan akan berusaha untuk menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan pertemuan dengan guru-guru sekitar Jalan Panji Alam dekat sini semalam. Pertemuan itu juga dijadikan medan untuk mendengar masalah warga pendidik.

Hishammuddin berkata, beliau akan meneruskan perjuangan arwah Razali di Kuala Terengganu, katanya arwah adalah seorang pemimpin mempunyai wawasan dalam memperjuangkan pendidikan di sini.

Menurut beliau, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, akan meneruskan kesinambungan perjuangan Razali dan beliau sendiri akan memastikan segala janji terbabit ditunaikan Wan Ahmad Farid sekiranya beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen.

“Sebenarnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi, mahu arwah mengganti saya sekiranya saya tidak lagi memegang jawatan Menteri Pelajaran. Namun apakan daya Allah lebih menyayanginya.

“Memandangkan perjuangannya yang cukup hebat bagi memartabatkan pendidikan di Kuala Terengganu, sebuah sekolah dan Institusi Perguruan akan dinamakan dengan nama beliau sebagai menghargai jasanya,” katanya.

Oleh itu katanya, pengundi Kuala Terengganu perlu membuat keputusan bijak pada hari pembuangan undi Sabtu ini. Beliau berharap pengundi membuat pilihan berdasarkan perancangan demi masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment