03 January, 2009

Pemilihan Wahid Endut Bukti Pas Bergolak: Noraini Ahmad

Pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, memberi gambaran jelas bahawa Pas kini sedang bergolak.

Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata pemilihan Wahid Endut adalah diluar jangkaan, kerana sebelum ini nama beberapa tokoh lain disebut bakal mencabar calon Barisan Nasional (BN),Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

"Ini jelas membuktikan bahawa dalam Pas sekarang sedang berlaku pergolakkan dan perpecah, kerana sebelum ini nama orang lain yang hangat diperkatakan bakal dipertaruhkan Pas. Melihat kepada situasi ini peluang untuk BN memenangi pilihan raya ini amat cerah. Puteri akan menggerakkan kesemua jentera dari seluruh negara turun padang bagi membantu calon kita,"katanya ketika ditemui semalam.

Beliau ditemui ketika melawat bilik Gerakan BN yang bakal digunakan bagi menghadapi pilihan raya, disekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam dekat sini.

Noraini berkata, siapa sahaja yang dipilih mewakili BN, Puteri Umno tetap memberi kerjasama dan sokongan padu, bagi memastikan calon dipilih mencapai kemenangan.

"Puteri mengutamakan kepentingan parti, tujuan kita ke sini adalah untuk memastikan kemenangan BN. Ini kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi BN sebelum ini. Kita yakin calon BN yang dipilih bagi mempertahankan kerusi ini yang telah disandang BN sebelum ini, mampu melaksanakan amanah dipikulnya,"katanya.

Katanya, Puteri Umno akan turun padang bagi mendekati pengundi dengan pelbagai pendekatan dan program yang sudah diatur bagi membantu calon BN berkempen.

Sebelum ini Pas dikatakan bakal mempertaruhkan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Nawawi, malah Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut mencadangkan Mohd Sabu bertanding di situ. Bagaimanapun Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang, tetap mahukan calon pilihannya Wahid Endut, bertanding kerusi terbabit.

No comments:

Post a Comment