31 December, 2008

UNDI DENGAN BIJAK BUKTI PROSES DEMOKRASI TERUS SUBUR DI NEGARA KITA



Pemuda BN Kuala Terengganu sudah mengerakkan jentera ke cawangan-cawangan untuk mula mendekati pengundi khususnya pengundi muda untuk memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu kekal milik Barisan Nasional (BN).

Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Sabri Alwi berkata, Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu di bawah pimpinan Saudara Badrol Hisham Zaki bersama barisan Jawatankuasanya telah mengadakan aktiviti-aktiviti yang bersama Pemuda, seperti futsal, badminton dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain yang bertujuan mengikat siratulrahim antara pemuda-pemuda kita di peringkat akar umbi.

“Kita telah menjalankan pelbagai aktiviti bersama dan sering duduk semeja bagi membincangkan pelbagai penyelesaian masalah. Ini penting bukan sahaja untuk memastikan persefahaman dan kerjasama erat dapat dijalinkan dengan segera di kalangan ahli kita di cawangan, malah menyediakan satu pasukan yang mantap, fizikal dan mental bagi menghadapi serangan dan dakyah pakatan pembangkang dan calon-calon Bebas yang lain.

Dengan momentum ini, kita yakin Pemuda BN sentiasa bersedia untuk kempen pilihan raya yang bermula 6 Januari ini,” katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu selepas menaikkan Giant Banner Pemuda BN di Bilik Gerakan Induk Pemuda BN.

Jangan sia-siakan undi kita

Dalam masa yang sama, Sabri menasihatkan para pengundi agar jangan mensia-siakan peluang mengundi dalam memilih calon yang terbaik untuk mewakili penduduk Kuala Terengganu.

“Kita tak nafikan dalam PRU yang lalu, ada segelintir pengundi yang tidak puas hati dan keliru dengan pilihan mereka sehingga membuat undi rosak. Ini adalah satu tindakan yang tidak bijak dan harus ditangani bersama.

Sehubungan dengan itu, Pemuda akan mengerakkan jentera untuk memberikan pemahaman kepada pengundi khususnya pengundi muda agar membuang undi dengan cara yang betul, selain memastikan calon BN akan menjadi pilihan mereka nanti.”

Kempen Pemuda dari “rumah ke rumah” bukan sahaja untuk mendekati pengundi malah melalui pendekatan tersebut, kita dapat menerangkan misi dan visi BN kepada penduduk dan pengundi Kuala Terengganu berbanding `cerita khayalan’ Pas yang selama ini berselindung di sebalik perjuangan Islamnya.

Dalam masa yang sama, Pemuda Kuala Terengganu bukan sahaja telah membina rangkaian bersama pengundi di Kuala Terengganu, malah sedang mengenal pasti pengundi-pengundi muda di luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab 17 Januari ini.

Sudah menjadi tanggungjawab, bukan sahaja ahli PAS, malah ahli BN sendiri untuk pulang menunaikan tanggungjawab bukan sahaja dalam pilihan raya kecil ini malah pilihan raya umum sebagai membuktikan bahawa proses demokrasi terus subur di Negara kita ini.

30 December, 2008

Salam Perjuangan

Assalammualaikum.
6 Januari nie, bermulalah perjuangan kita. Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Jan ini menuntut kerjasama dan perpaduan erat jentera BN bagi memastikan BN terus mendapat mandat untuk menjadi suara akar umbi penduduk Kuala Terengganu.
Insya-Allah, dengan kerja kuat dan kerjasama kita.... kerusi P36 Parlimen Kuala Terengganu akan terus menjadi milik kita.