01 January, 2009

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu : Pengundi Hantu Bergema Kembali?

Pas dilihat mencipta alasan awal menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januri depan apabila membangkitkan kembali isu pengundi hantu yang tenggelam sejurus pilihan raya umum lalu.

Timbalan Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda UMNO, Kamarulzaman Kamdias berkata isu terbabit yang menjadi senjata utama pembangkang menutup kekalahan mereka satu ketika dahulu sekali lagi akan digunakan sebagai bahan provokasi pada pilihan raya kecil tersebut.

Menurut beliau tindakan sedemikian hanyalah bertujuan untuk menimbulkan rasa kurang yakin dan ragu-ragu di kalangan pengundi untuk keluar mengundi sekaligus akan menjadi alasan mereka sekiranya mereka tewas kelak.

"Apakah Pas sudah merasai bayang-bayang kekalahan sehingga terpaksa mengitar semula isu berkenaan. Apakah mereka tidak mempercayai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan bertanggungjawab menyelia proses demokrasi berkenaan.

"Kita nak tanya mereka balik dalam soal ini. kenapakah isu pengundi hantu ini tidak timbul selepas pilihan raya umum lalu. Kenapa baru sekarang isu ini diwar-warkan kembali", katanya.

Soal beliau lagi, jika mereka mengiktiraf kemenangan di lima negeri pada pilihan raya umum lalu, kenapakah mereka cukup gusar dan khuatir terhadap proses pengundian pada pilihan raya kecil kali ini.

Beliau berkata sebagai mengulas tindakan parti pembangkang yang dikatakan menimbulkan kekhuatiran terhadap masalah pengundi hantu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala terengganu 17 Januari depan.

Kamarulzaman seterusnya percaya, insiden menahan pengundi dan menghalang bas serta kereta yang mencurigakan pandangan mereka akan berulang sepertimana yang berlaku sebelum ini.

Ini kerana katanya berdasarkan tindak-tanduk pembangkang yang mula meniupkan kembali isu tersebut.

"Apabila perkara ini diwar-warkan dikalangan mereka, sudah pasti jentera mereka akan bertindak setelah terikut-ikut dan termakan dengan kenyataan sedemikian.

"Cuma apa yang kita harapkan pihak berkuasa dapat melaksanakan tugas dengan baik supaya pengundi dapat menunaikan hak mereka dengan sebetulnya pada 17 Januari depan", katanya. -

- Ku Azman

No comments:

Post a Comment