06 January, 2009

Samakan UMNO dengan Israel - Satu kenyataan tidak berasas PAS








Oleh: Mohd Faizal Mohd Salleh

Tindakan menyamakan perjuangan melawan UMNO ibarat perjuangan melawan Israel merupakan satu tuduhan tidak berasas dan tidak matang dari pemimpin-pemimpin pembangkang, khususnya PAS ketika berkempen dalam memenangi hati hampir 90 peratus undi Melayu di kerusi Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mukhriz Tun Mahathir melihat kenyataan-kenyataan demikian sebagai tidak berasas, tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri semata-mata.

“Saya kita itu retorik politik PAS, kalau mengimbau semula apa yang kerajaan kita buat, kerajaan BN bersama parti-parti kompenan yang ditunjangi oleh UMNO itu sendiri, kita akan lihat bahawa kita telah memperjuangkan soal Palestin ini sejak di zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi.

Itulah namanya retorik politik kerana ianya tidak berasas sama sekali, kita yang paling ke depan, menuntut dan memperjuangkan saudara-saudara kita di Palestin selama ini, dan untuk menyamakan UMNO sebagai Israel saya ingat satu ketidak-adilan, dan langsung tidak masuk akal dan saya percaya rakyat kita yang jauh lebih bijaksana daripada apa yang dianggap oleh pihak pembangkang, memahami perkara itu dan tidak akan membuat persamaan seperti itu,” ujarnya yang juga merupakan Penyelaras AMAN Malaysia, selepas ceramah dan melancarkan Peti Undi Kampung Nibong.

Sehubungan dengan itu, kita jangan keterlaluan dalam berkempen sehingga nampak tidak matang sehingga mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak berasas.

“Oleh itu, saya lebih senang dengan apa yang disarankan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kelmarin, yang meminta kita berkempen dengan cara yang mesra rakyat.

Sebab itu, dalam ucapan saya tadi pun saya tidak sentuh mengenai pembangkang, lebih baik kita cerita apa yang kita boleh buat untuk rakyat dengan harapan rakyat boleh membuat penilaian yang sewajarnya kerana kita mempunyai rekod yang cukup cemerlang, dari itu saya harap rakyat dapat membuat pilihan yang tepat”.

Nasihat Dato’ Mukhriz kepada pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini agar menghentikan segala tohmahan-tohmahan seperti itu, dan dalam masa yang sama, BN juga akan berkempen dengan cara yang lebih berhemah dan tidak mahu mencetuskan sebarang ketegangan yang boleh menganggu proses Pilihan Raya Kecil ini.

No comments:

Post a Comment