02 January, 2009

Apabila Yang Diludah Terpalit Kemuka Sendiri

PAS dilihat ketandusan isu untuk dijaja menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini, cuba menghangatkan kembali isu lapuk bagi meraih undi.

Seperti dijangkakan walaupun PAS berjanji untuk tidak menyerang peribadi lawan, tetapi jentera PAS mula menyebar fitnah apabila gambar "super impose"calon Barisan Nasional (BN), Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, disebar secara meluas oleh media PAS.

Malah, kenyataan pemimpin PAS dalam beberapa akhbar dari awal lagi menuduh BN akan "memperkudakan"media yang ada di negara ini, bagi pilihan raya Kuala Terengganu.

Tatkala BN baru sahaja mengatur jentera, PAS lebih awal "memperlembukan" segala media yang milikinya, bagi menabur fitnah dan menyerang peribadi lawan.

Seperti Pilihan Raya Umum ke 12 Mac lalu, segala bentuk media massa mahupun media elektronik, baik akhbar, laman web dan blog dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memburukan BN sehingga melanggar tataetika ditetapkan.

Berbeza dengan BN, mengamalkan sikap sederhana dan tidak menggunakan media untuk menabur fitnah ataupun memburukkan pembangkang, kerana mereka sedar BN sudah mendapat kepercayaan rakyat di Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, sewaktu merasmikan pusat media bagi pilihan raya kali ini, menasihatkan media arus perdana dan media milik BN melaporkan berita tanpa melanggar tataetika ditetapkan.

Apakah PAS menasihatkan pengamal medianya berbuat demikian, ataupun menghalalkan penyebaran fitnah demi kepentingan parti?

Menjelang pilihan raya ini juga, Hudud yang semakin lenyap daripada perjuangan PAS dihangatkan kembali bagi meraih sokongan rakyat Kuala Terengganu.

Slogan "Membangun Bersama Islam" kini tidak kedengaran lagi, mungkin kerana "hubungan baik" terjalin dengan Partai KeAdilan Rakyat (PKR) dan DAP memungkin mereka untuk menegakan Islam.

Manifesto "Kearah Negara Berkebajikan"pastinya akan dicanang lagi pada pilihan raya kali ini. Namun, umpan itu tidak akan mengena,kerana rakyat Terengganu sudah merasai nikmat kebajikan dibawah pentadbiran Kerajaan BN.

Mana tidaknya, bagi rakyat miskin sumbangan wang ihsan diberikan adalah cukup lumayan dan lebih 3,000 buah rumah bagi rakyat miskin, dibina secara percuma bagi membolehkan rakyat meperoleh kediaman sempurna.

Ini semua tidak mungkin dapat dilakukan PAS.

Sepenggal bersama PAS (1999-2004) rakyat sudah merasai penderitaan dan sedar PAS tidak mampu membawa perubahan kepada mereka, kecuali balak ditebang dengan rakusnya bagi memenuhkan poket pemimpin PAS.

Bukan itu sahaja, anak-anak dihalang untuk mendapat pendidikan sempurna, tabika dikunci, sekolah MARA dihentikan dan KUSZA (kini Universiti Darul Iman), dibenarkan ambil pelajar yang mendapat keputusan tercorot asalkan anak ahli PAS.

Jika bercakap soal Islam, secara jelas UMNO memperjuangkan Islam berbanding PAS. Bukankah, bekas Perdana Menteri ke empat, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengistyiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan ini diperakui kesemua kaum.

Tertegaknya Islam dibumi Malaysia adalah kerana keberanian dan kehebatan pemimpin UMNO. Akibat ketandusan isu, Ketuanan Melayu kini dipersoalkan terutamanya berkaitan Pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), kononya akan menghapuskan Bahasa Melayu.

Persoalannya mengapa kaum lain tidak mempersoalkannya? Kerana mereka sedar manfaat menguasai Bahasa Inggeri.Apakah kita mahu Melayu terus terkebelakang?

Sejak bila PAS pandai berbicara tentang ketuanan Melayu, bukankah mereka ini hanya pandai bercakap pasal Islam sahaja. Siapa yang menghakis ketuanan Melayu sebenarnya?

Jawapannya, adalah pembangkang yang sanggup "memperkotak katikan" ketuanan Melayu bagi
memenangi Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Siapa yang ingin bukan Melayu turut sama belajar di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang sememangnya hak mutlak orang Melayu?

Bukankah itu cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim. Kenapa PAS boleh mempertahankan penjualan arak di Selangor, mengapa Tan Sri Khalid, membenarkan ladang babi dibina? Dan siapa yang mahu azan dikumandangkan dengan perlahan dibumi Selangor?

Jawapan kepada persoalan ini rakyat boleh terjemahkannya dengan memberi kesemua undi kepada BN pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment