09 January, 2009

Kempen rumah ke rumah pendekatan terbaik mendekati permasalahan rakyat



Satu taktik meraih undi yang diiktiraf banyak pihak sebagai sangat berkesan ialah kempen dari rumah ke rumah. Kesannya dikatakan berlipat ganda berbanding mengadakan ceramah atau majlis kenduri.

Namun keberkesanan taktik berkempen dari rumah ke rumah juga bergantung kepada sejauh mana pembawaan diri perayu undi berkenaan sama ada mampu mempengaruhi atau sebaliknya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Mohammad Khir Toyo berkata, selain jentera perayu undi BN, para pemimpin BN juga harus turun kempen rumah ke rumah bagi memastikan calon BN, Dato Wan Ahmad Farid menang dalam Pilihan Raya Kecil, 17 Januari ini.

“Kempen yang paling baik di Kuala Terengganu ialah kempen dari rumah ke rumah. Saya harap pemimpin- pemimpin negara yang lain buat perkara yang sama kerana ia merupakan pendekatan yang terbaik dalam mendekati rakyat.

Pertamanya kita dapat memenangi hati pengundi. Keduanya, pemimpin menyedari apa masalah sebenarnya di bawah. Ini akan memberikan keinsafan kepada para pemimpin dan bagaimana untuk mengatasi masalah kemiskinan, masalah orang tua dan masalah masyarakat persekitaran secara keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu, beliau melihat pendekatan sebegini merupakan cara terbaik dan mengharapkan semua pemimpin dapat turun menemui pengundi-pengundi selain ceramah dalam kumpulan-kumpulan kecil dalam 5 hingga 20 orang, ia juga cara yang baik dalam mendekati pengundi.

Dari cara dan semangat jentera BN yang terlibat dalam kempen kali ini, beliau yakin pengundi akan menyedari keikhlasan BN dalam membantu mengubah nasib rakyat, khususnya di Kuala Terengganu.

Dalam masa yang sama, beliau yakin tidak ada isu national yang dimainkan pembangkang ketika berkempen di Kuala Terengganu ini. Begitu dengan pengundi, mereka hanya mahukan keikhlasan dan perhatian untuk bantu mereka.

“Saya yakin, kalau perhatian dan keikhlasan kita membantu mereka, saya tidak nampak ada masalah untuk kita memenangi hati mereka seterusnya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Mungkin ada isu pembangunan yang tidak seimbang bermain di sini, namun dengan kewibawaan Dato Ahmad Said sebagai MB yang menumpukan kepada pembangunan asas rakyat, ia akin dapat mengimbangi masalah ini,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakana kempen rumah ke rumah di Peti Undi Kenanga, Dun Batu Buruk.

No comments:

Post a Comment