11 January, 2009

Pemuda Bidas Pas Letak Darjat Tinggi Kepada Pemimpin DAP Dalam Soal Islam

Oleh: Ku Man

Pemuda UMNO kesal Pas terus meletakkan taraf pemimpin DAP yang rata-ratanya tidak beragama Islam lebih tinggi darjat dan kedudukannya berbanding pemimpin UMNO yang beragama Islam berhubung isu pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kelantan, Ustaz Hj Affendi Yusof berkata pihaknya memandang serius perkara ini kerana jelas Pas sanggup memperjudikan agama demi kepentingan politik.

Tegasnya tuduhan Pas bahawa DAP lebih memahami Islam berbanding UMNO perlu diperdebat dan diperbahaskan secara panjang lebar.

Justeru pihaknya mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bersemuka dalam masa terdekat untuk membincangkan isu hudud ini.

"Pas tidak boleh selamanya membohongi rakyat dengan kenyataan politik seumpama ini. Sampai bila rakyat harus ditipu? UMNO perlu beri penjelasan kepada Pas tentang realiti politik negara ini dan kemampuan yang ada pada orang Islam untuk melaksanakan hudud secara serta merta", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.

Beliau seterusnya berkata Hadi boleh tetapkan masa, tarikh dan tempat untuk berdialog isu tersebut.

"Kita amat bersetuju dan mengalu-alukan kesudian Pas untuk berbuat demikian daripada melihat mereka terus membuat kenyataan-kenyataan politik yang mengelirukan umat Islam", ujarnya.

No comments:

Post a Comment