01 January, 2009

Dosa Dan Pahala kembali bergema di Terengganu

Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membangkitkan kembali soal dosa dan pahala ketika mengingatkan pengundi memilih calon Pas akan mendapat pahala dan menempah dosa jika memilih Barisan Nasional (BN) bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Tindakan tersebut sebenarnya memberi gambaran bahawa parti itu benar-benar terdesak untuk mencapai kemenangan sehingga terpaksa memainkan semula taktik lapuk itu pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini, kata Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Azimi Daim.

Tegas beliau Pas menerusi Nik Aziz terpaksa memutar kembali kenyataan itu kerana sedar mereka tidak mempunyai isu atau modal untuk menagih undi rakyat.

“Pas makin bangkrap isu. Kita yakin rakyat khususnya pengundi di negeri ini juga sudah muak dengan cara Pas ini. Biarkan mereka (Pas) dengan labu-labunya. Bagi kita yang penting meneruskan agenda parti kita bagi persiapan menghadapi pilihanraya umum akan datang”, katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang membangkitkan kembali soal dosa dan pahala ketika mengingatkan pengundi memilih calon Pas akan mendapat pahala dan menempah dosa jika memilih Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.

Tegas Azimi lagi, soal dosa dan pahala bukanlah ditentukan oleh Mursyidul Am terbabit. Malah kata beliau lagi, BN telah melaksanakan sebahagian besar tuntutan Islam khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

”Islam tekankan kesejahteraan dan memelihara rakyat. Apa yang telah dilaksanakan oleh BN sehingga hari ini sebenarnya telah memberi banyak manfaat kepada rakyat di negara ini. Jadi kenapakah undi BN dianggap berdosa sedangkan kita telah melaksankan sebahagian tanggungjawab yang kini nikmatnya dapat dikecapi oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebagai contoh, nikmat keamanan, taraf hidup yang semakin maju dan sebagainya”, katanya.

Serentak itu beliau menyeru pengundi di Terengganu agar tiadk terpengaruh dengan dakwaan sedemikian kerana kenyataan tersbeut adalah bertujuan untuk memancing undi semata-mata.

”Apalagi yang kita mahu. Negara yang membangun, negeri yang bertambah maju dan rakyat yang berubah taraf kehidupannya”, kata beliau.

Azimi seterusnya berkata pihaknya percaya Pas akan terus mengeluarkan kenyataan yang karut marut untuk menghalalkan tindakan mereka memancing undi. Jelas beliau ini adalah taktik yang lazim digunakan Pas bagi menakut-nakutkan pengundi khususnya orang Melayu.

No comments:

Post a Comment