04 January, 2009

Tidak Ada Hantu Pada Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu : SPR

Setiap kali menjelang pilihan raya, isu pengundi hantu pastinya dibangkitkan Pas, malah pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, penyokong PAS bertindak menghalang bas pengundi luar kerana mendakwanya sebagai “Pengundi Hantu”.

Menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Terengganu, PAS sekali lagi mengulang “skrip” lama apabila mendakwa pengundi hantu akan dibawa masuk pada PRK 17 Januari ini.

Namun nada berbeza dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), apabila dengan tegas menyatakan “Hantu” yang didakwa pembangkang tidak akan wujud pada pilihan raya ini.

Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Nordin Che Ngah, berkata isu pengundi hantu tidak perlu ditimbulkan, kerana SPR menjalankan tugas mengikut prosedur ditetapkan.

“Isu pengundi hantu adalah isu lapuk, pengundi hantu sebenanya tidak wujud. Senarai nama pemilih terlebih dahulu dipamerkan bagi tujuan bantahan sekiranya ada.

“Untuk kita mengambil orang baru sebagai pemilih dalam masa yang singkat adalah mustahil. Pendaftaran baru pemilih memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga bulan bagi membolehkan layak mengundi,

“Saya tidak faham dengan segelintir penyokong parti yang bertindak menyekat bas pengundi untuk, melastik dan sebagainya sedang ia adalah pengundi berdaftar yang berada di luar kawasan ” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas sesi taklimat dan penerangan kepada pihak media, di Wisma Persekutuan dekat sini semalam.

Nordin berkata, biasanya mereka yang dianggap sebagai pengundi hantu, adalah pengundi mendaftar dalam kawasan terabit, tetapi tidak menetap di dalam kawasan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata lebih 1300 pengudi pos akan membuang undi pada pilihan raya kecil kali ini, daripada jumlah itu lebih 300 pengundi pos adalah kakitangan SPR yang betugas, 27 tentera dan selebihnya Polis.

“Oleh itu setiap parti perlu memahaminya dan jangan pula menimbulkan isu kononnya SPR menambah bilangan undi pos. Undi pos akan dikeluarkan sebelum proses pembuangan undi 17 Januari.

“Dakwaan kononnya undi pos adalah bertujuan membantu calon tertentu tidak berasas, proses pengiraan undi pos agak lambat berbanding undi biasa disebabkan salinan borang 2 yang dikepilkan sekali dengan undi pos,” katanya.

Menurur Nordin, pada pilihan raya kecil kali ini sebanyak 36 pusat pengundiaan akan dibuka, membabitkan 143 tempat pengundian disediakan bagi proses pembuangan undi.

No comments:

Post a Comment