10 January, 2009

SABK bantu pertingkatkan kualiti pendidikan di SAR dan SAN- Hisham


Program pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah satu program utama kementerian yang diperkenalkan dalam keadaan di mana kebanyakan sekolah agama semakin terhimpit dengan pelbagai masalah sehingga ada yang terpaksa ditutup.

Program ini direncana bagi membantu mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan di SAR dan SAN dari pelbagai aspek terutama sekali yang berkaitan dengan pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia serta prasarana dan kemudahan fizikal. Ini adalah usaha murni kerajaan untuk menyelamatkan SAR dan SAN supaya dapat terus beroperasi dan tidak tersisih dari arus pendidikan kebangsaan.

“Sehubungan itu, saya ingin menafikan sekeras-kerasnya tanggapan sesetengah pihak kononnya program ini bertujuan mengambil alih sekolah-sekolah agama serta membunuh sistem pendidikan agama yang sudah berlangsung sekian lama; menyebabkan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dan pihak berkuasa kerajaan negeri hilang; mengakibatkan penyisihan anak negeri; dan lain-lain lagi.

Saya ingin tegaskan bahawa tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali. Kerajaan sememangnya tidak berhasrat untuk mengambil alih sekolah-sekolah agama ini. Pemilikan tanah dan bangunan masih kekal seperti sedia ada. Cuma apa yang dikatakan diambil oleh kerajaan adalah TANGGUNGJAWAB atau AMANAH untuk mengurus sekolah-sekolah ini dengan baik. Kerana kerajaan merasakan bahawa sekolah-sekolah agama ini perlu dipertahan dan dimajukan supaya setanding dengan sekolah-sekolah kerajaan yang lain,” ujarnya ketika ditemui di majlis penyererahan cek pakej ransangan memperkukuhkan daya tahan ekonomi Negara.

Selain itu, program ini sememangnya bersifat ’tempatan’. Ini bermakna anak negeri diutamakan untuk belajar di sekolah yang telah berdaftar berbanding murid-murid dari negeri-negeri lain. Malah, kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dan pihak berkuasa negeri juga tidak akan hilang. Mereka masih lagi mempunyai peranan di sekolah, terutama sekali dalam memastikan keberkesanan pengajaran agama yang menjadi identiti sekolah sejak sekian lama.

Di dalam menyampaikan hasrat supaya SAR dan SAN berdaftar, kerajaan sentiasa bersifat telus dan tidak menyembunyikan apa yang sepatutnya diketahui oleh rakyat. Kerajaan akan sentiasa berusaha meyakinkan rakyat tentang hasrat murni ini dan sangat-sangat berharap supaya ia diterima dengan hati terbuka. Untuk makluman, bilangan sekolah agama yang telah berdaftar dengan KPM setakat ini adalah sebanyak 154 buah. Jumlah ini meliputi 6 di Perlis, 14 di Kedah, 11 di Pulau Pinang, 25 di Perak, 23 di Selangor, 3 di Johor, 14 di Melaka, 5 di Pahang, 22 di Kelantan, 15 di Negeri Sembilan,14 di Terengganu, dan 2 di Sabah. Pada masa yang sama, terdapat 101 sekolah agama lagi masih di peringkat perbincangan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Ini tidak termasuk 27 sekolah agama di Johor yang telah menyampaikan hasrat untuk mendaftar di bawah Kementerian Pelajaran.

“Saya ingin memaklumkan bahawa semua sekolah yang berdaftar di bawah program ini akan diberi perhatian khusus oleh KPM dari segi pengurusan, keselamatan dan penyenggaraan. Untuk itu, sekolah-sekolah ini akan mendapat bantuan penuh seperti Geran Perkapita Mata pelajaran, bantuan asrama, bantuan pelaksanaan aktiviti kokurikulum, bantuan Pusat Sumber sekolah dan lain-lain lagi.

Dari segi prasarana pula, sekolah akan diberi bantuan modal supaya perbelanjaan projek menaiktaraf dan memperbaiki kemudahan fizikal sekolah dapat ditampung. Bagi SAR khususnya, Bantuan Insentif akan diberikan sebaik sahaja MoU ditandatangani”.

Bagi merealisasikan apa yang dijanjikan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk pembangunan sekolah-sekolah agama ini. Dari tahun 2005 hingga 2008, sebanyak RM454 juta sudah diagihkan kepada SAR dan SAN di seluruh negara yang telah menandatangani MoU dengan KPM.

Jumlah ini tidak termasuk tambahan peruntukan yang telah diumumkan oleh YAB. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 4 November lalu, semasa penggulungan perbahasan Bajet 2009, bahawa kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk memantapkan Sekolah Bantuan Kerajaan. Daripada RM200 juta ini, SABK akan menerima RM50 juta. Peruntukan ini digunakan untuk pelbagai kegunaan antaranya pembelian aset/harta modal; pembangunan dan naik taraf bangunan sekolah; pemberian pelbagai bentuk bantuan kepada murid dan sebagainya.

Kepada guru-guru dan kakitangan-kakitangan yang sedia ada di sekolah pula, kerajaan sudah membuat keputusan untuk mengekalkan mereka di sekolah dan seterusnya diserap ke dalam perkhidmatan kerajaan secara hakiki. Mereka akan diberi gaji yang bersesuaian dengan kelayakan mereka, diberi peluang kenaikan pangkat, berpeluang menikmati segala kemudahan sebagai penjawat awam, berpeluang untuk mengikuti kursus-kursus di dalam dan di luar negara. Malah, sekolah juga berpeluang menerima guru-guru KPM yang terlatih sekiranya guru sedia ada tidak mencukupi.

Bagi murid-murid pula, mereka akan berpeluang mendapat biasiswa, bantuan makanan, bantuan buku teks dan pelbagai bantuan lagi. Mereka juga berpeluang untuk bersaing dengan murid-murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti KPM sama ada berbentuk kurikulum mahupun kokurikulum, dan jika berkelayakan, akan diberi peluang sehingga mewakili negara di peringkat antarabangsa. Selain daripada itu, mereka juga akan diberi peluang melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah ternama KPM seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional malah ke Matrikulasi.

Apa yang sedang dan akan kita lakukan ini adalah demi kebaikan dan kebajikan sekolah-sekolah agama. Kerajaan Pusat yang telah diberi mandat oleh rakyat tidak akan terus membela nasib sekolah-sekolah agama yang daif selagi terdaya. Kerajaan tidak akan berdiam diri malah akan terus berusaha menyelamatkan sekolah-sekolah agama ini. Walau bagaimanapun, jika ’bertepuk sebelah tangan’ sudah pasti takkan berbunyi. Justeru, saya menyeru kepada semua SAR dan SAN di bumi yang bertuah ini supaya segera mengambil peluang yang terbuka luas ini demi masa depan sekolah, guru-guru, kakitangan dan yang paling utama sekali anak-anak kita yang sedang menimba ilmu pengetahuan di sekolah.

No comments:

Post a Comment