08 January, 2009

PUTERI GEMPUR SERAMAI MUNGKIN PENGUNDI MUDA

Puteri Umno akan bertemu seramai mungkin pengundi muda di kawasan Parlimen Kuala Terengganu bagi memberi penerangan mengenai isu pembangunan dan dasar kerajaan.

Naib Ketua pergerakan itu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pergerakan itu akan menumpukan kempen rumah ke rumah untuk menjelaskan kepada pengundi terutama golongan muda mengenai sesetengah perkara yang diputar belit pembangkang.

"Kita sedia mendengar rintihan orang muda yang selalunya disalahertikan sebagai selalu memberontak," ujarnya ketika ditemui selepas melawat Pusat Media di Jalan Pegawai .

Dianggarkan 47 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen itu adalah pengundi muda. Sehubungan dengan itu, pelbagai program telah dirangka bagi mendekati masyarakat tempatan terutamanya golongan muda di kawasan itu dan setakat ini semuanya berjalan lancar dan diterima baik masyarakat setempat.

Pada pilihan raya kecil itu, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh akan ditentang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Razali Ismail daripada BN pada 28 Nov.

Rosnah berkata berkata selain memberi keutamaan kepada golongan muda, Puteri Umno juga akan mendekati golongan ibu bapa dengan mengadakan pelbagai program kemasyarakatan.

"Kami akan mengadakan program motivasi pendidikan kepada ibu bapa dan kami juga telah mewujudkan klinik bergerak dengan kerjasama hospital tempatan sebelum hari penamaan calon lagi dan setakat ini lebih 700 pesakit telah dirawat," katanya.

No comments:

Post a Comment