05 January, 2009

PERUNTUKAN PENDIDIKAN- Bukti Keterbukaan Dan Keprihatinan Kerajaan



Keterbukaan dan keprihatinan kerajaan terhadap sekolah bantuan kerajaan pelbagai aliran telah banyak kali terbukti menerusi pemberian bantuan peruntukan.

Terbaru, peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk empat aliran sekolah bantuan kerajaan yang diumum oleh YAB Timbalan Perdana Menteri tahun lepas menerusi pakej ransangan ekonomi akan diagihkan sama rata kepada empat aliran sekolah iaitu RM50J untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, RM50J untuk SJKC, RM50J untuk SJKT dan RM50J untuk Sekolah Mubaligh.

Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin berkata, peruntukan tambahan tersebut merupakan tambahan kepada peruntukan RM100J dana pembangunan sedia ada di bawah RMK9 untuk sekolah-sekolah bantuan kerajaan.

"Ia tidak termasuk peruntukan RM50J yang disalurkan di bawah Kajian Separuh Penggal. Sekiranya dijumlahkan semua peruntukan tersebut, maka jumlahnya adalah sebanyak RM350J iaitu jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah untuk sekolah bantuan kerajaan, jauh lebih banyak berbanding peruntukan RM50J semasa RMK8.

Dengan peruntukan yang mencukupi, kerajaan akan memastikan lebih banyak sekolah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Jelas, dakwaan pihak pembangkang bahawa kerajaan BN sengaja mendiskriminasikan aliran sekolah lain selain Sekolah Kebangsaan adalah tidak berasas sama sekali, kerana kerajaan BN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip pendemokrasian pendidikan dan adil kepada semua aliran sekolah," ujarnya pada Majlis Penyerahan bantuan kepada SJKC di SJKC Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu.

Walaupun negara kini berhadapan dengan cabaran ekonomi yang getir akibat dari krisis kewangan dunia, kerajaan masih prihatin dengan tuntutan rakyat terhadap pendidikan dengan menyalurkan lebih banyak peruntukan kepada sekolah untuk mengurangkan beban sekolah, lembaga sekolah dan ibu-bapa.

Oleh yang demikian, selaku Menteri Pelajaran, saya mahu para guru besar dan pengetua sekolah, warga guru, lembaga pengelola sekolah dan para ibu bapa bekerjasama rapat dan memainkan peranan aktif dalam memastikan institusi sekolah terus cemerlang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum dan sukan.

Mari kita bersama kuatkan tekad dan semangat dengan menjadikan satu arus perubahan yang dapat mengangkat institusi sekoilah negara ini ke tahap yang lebih tinggi setanding dengan sekolah-sekolah elit di negara-negara lain.

No comments:

Post a Comment